Sejarah IQSA

Pada Januari 1983, Maahad Tahfiz Al-Quran (MTQ) telah ditubuhkan buat kali pertamanya di Masjid Al-Amin, Kelemak, Alor Gajah, Melaka dengan penyertaan 20 orang pelajar secara separuh masa. Pada Jun 1983, Majlis Perasmian Penubuhan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Melaka (MTQNM) telah disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Melaka. Selanjutnya, pada tahun 1989, MTQNM dipindahkan ke Bangunan MAIM, Jalan Pasar Baru Melaka dengan penyertaan sejumlah 10 orang pelajar sepenuh masa yang menghabiskan pengajian mereka  selama 3 tahun.

 

Pada tahun 1991, Sijil MTQNM telah diiktiraf oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia sebagai Diploma Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat yang beroperasi di Pusat Islam Kuala Lumpur. Bermula pada tahun 1992, MTQNM telah berpindah ke Masjid Al-Azim Negeri Melaka, selepas perpindahan di Madrasah Darul` Aitam Bukit Pegoh selama 2 tahun berikutnya, Majlis Perasmian Pecah Tanah Kompleks MTQNM telah disempurnakan di Kampung Chenderah, Jasin oleh YAB Ketua Menteri Melaka di atas tanah wakaf seluas 4.5 ekar.

 

Setelah siap bangunan di Kompleks berkenaan, pada tahun 1995, kerajaan negeri telah menubuhkan Kulliyah Al-Dirasat Al-Islamiah Wal Arabiah Melaka (KDIAM) yang berjaya menjalinkan usaha sama (MOU) bersama Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1998. Berikutan dari keperluan pengurusan pada tahun 2004, KDIAM telah diletakkan di bawah kelolaan Kolej Islam Melaka sehinggalah pada tahun 2009, setelah Kolej Islam Melaka menaiktaraf sebagai Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Program Diploma Tahfiz MTQNM telah berpindah di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada tahun 2010.

 

Pada tahun yang sama, IQSA memulakan operasinya di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil dengan pengambilan kumpulan pelajar pertamanya sejumlah 14 orang. Pada tahun 2015, IQSA telah mewujudkan cawangannya di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara. Sehingga kini, IQSA telah menerima pelajar sejumlah 343 orang dan 54 orang dari mereka telah melanjutkan pelajarannya di Mesir dan beberapa Universiti Tempatan dan luar negara yang lain.

Pada 25 Ogos 2017, YAB Ketua Menteri Melaka telah melaksanakan program pecah tanah bangunan baru Institut Al-Quran Sayyidina Ali dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2018.